Covid-19 Sabah: Kluster baharu berkaitan institusi pendidikan diisytihar di Lahad Datu

Covid-19 Sabah: Kluster baharu berkaitan institusi pendidikan diisytihar di Lahad Datu

Kota Kinabalu: Sabah kembali merekodkan kluster Covid-19 selepas satu kluster baharu berkaitan institusi pendidikan diisytiharkan di daerah Lahad Datu hari ini.

Kluster Jalan Segama Lahad Datu itu membabitkan jangkitan dalam kalangan pelajar asrama di Sekolah Menengah Sains (SMS) Lahad Datu yang setakat ini menjangkiti seramai 39 pelajar asrama sekolah berkenaan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kluster berkenaan dikesan selepas kes indeks iaitu seorang pelajar lelaki Tingkatan 4 sekolah terbabit dikesan positif Covid-19 pada 18 April lalu.

“Kes indeks mula bergejala pada 18 April dan menjalani saringan pada hari yang sama sebelum didapati positif Covid-19.

“Saringan terhadap kontak rapat (rakan seasrama) mendapati 38 pelajar lagi dijangkiti menjadikan jumlah pelajar yang positif setakat ini seramai 39 orang.

“Semua yang terlibat telah diasingkan dan diberikan rawatan yang selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, petang ini.

Ia adalah kluster pertama selepas hampir dua bulan tiada sebarang kluster baharu Covid-19 direkodkan di Sabah.

Lebih 40 kluster yang kebanyakannya berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah sejak Januari lalu sudah ditamatkan dengan yang terakhir Kluster Jalan Tambalang di Tuaran diisytiharkan tamat pada 15 April lalu.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kluster baharu itu antara punca kes Covid-19 di Sabah naik mendadak kepada 149 kes hari ini, berbanding 85 kes semalam.

“Pertambahan jumlah kes secara mendadak kepada tiga angka hari ini berpunca daripada dua faktor utama dengan yang pertama disebabkan kluster baharu pendidikan yang diisytiharkan di Lahad Datu hari ini.

“Faktor kedua ialah jumlah daerah yang mencatatkan pertambahan kes baharu bertambah daripada lapan daerah semalam kepada 17 daerah hari ini. Hanya enam daerah mencatat jumlah kes baharu yang lebih rendah berbanding semalam,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya sebanyak empat daerah mencatat kes dua angka hari ini iaitu Lahad Datu (40 kes), Sandakan (18 kes), Kota Kinabalu (13 kes) dan Penampang (10 kes).

Beliau berkata, sebanyak 19 daerah lagi mencatat kes satu angka dengan 14 daerah merekodkan kurang daripada lima kes, manakala empat daerah lain iaitu Kota Marudu, Kunak, Nabawan dan Tongod tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini.

“Seramai 141 orang daripada 149 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, empat orang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 22 April 2022
Sabah 149 (85)

Lahad Datu 40 (4)
Sandakan 18 (7)
Kota Kinabalu 13 (27)
Penampang 10 (3)
Beaufort 8 (0)
Putatan 8 (0)
Papar 7 (3)
Keningau 6 (2)
Tuaran 6 (14)
Kota Belud 4 (2)
Semporna 4 (1)
Tenom 4 (2)
Kudat 3 (2)
Tawau 3 (4)
Beluran 2 (2)
Kalabakan 2 (0)
Kinabatangan 2 (0)
Kuala Penyu 2 (2)
Sipitang 2 (0)
Tambunan 2 (4)
Pitas 1 (0)
Ranau 1 (0)
Telupid 1 (0)
Kota Marudu 0 (5)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Tongod 0 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 21 April 2022

Kluster Baharu
Kluster Jalan Segama Lahad Datu
Lahad Datu 39 (+38),
(Kluster Insttitusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|