Dua kanak-kanak dalam rakaman tular, diburu

Kota Kinabalu: Polis daerah ini sedang mengesan dua kanak-kanak lelaki yang dirakam meletakkan objek tajam di atas permukaan jalan sebelum tular sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan untuk mengesan namun masih gagal menemui kedua-dua mereka.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kejadian kes kenderaan terlanggar sebarang objek tajam di lokasi dimaksudkan.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu juga sudah membuat operasi dan pemeriksaan di jalan-jalan utama sekitar bandaraya ini.

“Tindakan akan diambil terhadap sesiapa saja sekiranya ada sebarang aktiviti melanggar undang-undang termasuk mengganggu lalulintas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, pihak IPD Kota Kinabalu memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 088-529222 untuk tindakan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|