Pelbagai rampasan cecah RM500,000 oleh Maritim Malaysia Zon Tawau

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya membuat pelbagai rampasan membabitkan nilai RM500,000 sepanjang suku pertama tahun ini.

Ia menerusi pelbagai operasi antaranya Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur, Ops Cegah PTI Selatan (OCP) COVID-19 dan Ops Khas Pagar Laut.

Pasukan Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan terhadap bot yang ditahan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, semua rampasan berkenaan membabitkan sebanyak 21 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan yang dikesan sebelum ini.

Katanya, antara kesalahan dikesan adalah kes Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959, MSO 1952, Enakmen Hutan dan Enakmen JPDS.

Pasukan Maritim Malaysia berjaya mengekang kes-kes penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dan aktiviti jenayah lain di perairan negara.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 2,766 pemeriksaan dilakukan terhadap bot, kapal dagang, sangkar ikan, bagang dan bot penumpang.

“Menerusi pemeriksaan itu juga, kita berjaya mengekang kes-kes penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dan aktiviti jenayah lain di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program liputan khas media menjelang Aidifitri dan berbuka puasa Zon Maritim Tawau bersama media, di sini, semalam.

Siva Kumar berkata, Zon Maritim Tawau juga sudah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan menjelang sambutan Hari Raya yang bakal tiba.

“Memandangkan sempadan negara sudah dibuka, pasukan Maritim Malaysia akan menjalankan operasi berterusan 24 jam setiap hari menerusi Ops Khas Pagar Laut dan komited menjaga perairan negara daripada diceroboh.

“Sebanyak dua bot dan satu kapal KM Pintar sentiasa dikerahkan berada di perairan negara bagi memantau keluar masuk bot termasuk yang disyaki membawa PTI,” katanya.

Sementara itu, Siva Kumar berkata, berdasarkan trend sebelum ini, kebiasannya bot yang membawa PTI ini akan kerap keluar masuk menjelang perayaan seperti sambutan Hari Raya tanpa mengikut prosedur.

“Juragan bot juga didapati membawa muatan berlebihan sehingga mendatang risiko karam sekiranya berlaku ketika cuaca buruk.

“Ia sudah semestinya menjadi tugas pasukan Maritim untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Oleh yang demikian, sebelum ia berlaku, pasukan Maritim akan menyekat kemasukan mereka bermula dari sempadan negara supaya tiada yang didapati lolos ke daratan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|