Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah tidak pernah mengeluarkan sebarang dokumen dengan arahan pembayaran permit masuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, pihaknya menerima aduan yang mengatakan tular surat bertajuk demikian.
Namun katanya, hasil semakan JIM Sabah mendapati semua dokumen berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan di Pejabat Imigresen Negeri Sabah.
“JIM Sabah menasihatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dengan sindiket pemalsuan dokumen.
“Orang ramai boleh berhubung terus ke Pejabat Imigresen terdekat untuk mendapatkan maklumat yang tepat sekiranya ada pihak yang mendakwa boleh menguruskan dokumen jabatan ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sharifah berkata, sebarang aduan dan laporan juga boleh disalurkan terus ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Imigresen di laman sesawang http://imi.spab.gov.my.bagi.
“JIM Sabah bersama agensi penguatkuasa yang lain memohon kerjasama dari masyarakat khususnya di Sabah untuk melapor sebarang jenis dokumen imigresen yang meragukan bagi membendung serta membanteras kegiatan ini.
“Tanggungjawab ini bukan hanya digalas oleh pasukan keselamatan saja, ia juga adalah tanggungjawab masyarakat serta rakyat Malaysia untuk sama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
-Deasoka