Rumah Mesra SMJ usaha GRS-BN atasi masalah perumahan di Sabah – Khairul Firdaus

Rumah Mesra SMJ usaha GRS-BN atasi masalah perumahan di Sabah – Khairul Firdaus

Kota Kinabalu: Kesungguhan kerajaan Sabah untuk memastikan masalah perumahan rakyat dapat diatasi dari semasa ke semasa terbukti dengan pengumuman untuk mewujudkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, masalah perumahan rakyat adalah antara isu yang dekat dengan keadaan rakyat di negeri ini.

Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk meletakkan isu perumahan sebagai agenda perjuangan utama.

“Kita nampak masalah ini (perumahan rakyat), sebagai satu masalah yang dekat dengan rakyat dan inilah agenda perjuangan kerajaan GRS-BN.

“Dengan matlamat untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan negeri juga peka dan sentiasa melihat keperluan dan kehendak rakyat Sabah, apa yang orang-orang kita di Sabah perlu dan kini, Rumah Mesra SMJ dengan dana dari geran khas kerajaan Persekutuan berjumlah RM125.6 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu lalu mengumumkan bahawa kerajaan negeri bakal melaksanakan projek Rumah Mesra SMJ membabitkan sebanyak 1,500 unit di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sabah secara sama rata.

Projek itu merupakan antara inisiatif Hala Tuju SMJ kerajaan negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan membolehkan rakyat mendapat akses kepada kediaman mampu milik.

Rumah Mesra SMJ merupakan projek dahulunya yang dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan lebihan dana peruntukan keseluruhan bagi projek itu akan digunakan untuk membaiki jalan, jambatan gantung dan infrastruktur lain serta kerosakan harta benda akibat banjir.

Khairul Firdaus yang juga Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi turut menegaskan bahawa usaha berterusan pucuk pimpinan kerajaan GRS-BN dalam fokus mencapai hala tuju SMJ terbukti dan tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak.

“Kita boleh nilai dan saya yakin rakyat turut memerhati kerana setiap satu tindakan yang diambil oleh kerajaan GRS-BN sejak awal, sentiasa berfokuskan kepada matlamat agar setiap perancangan dan langkah yang dilaksanakan benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat Sabah.

“Kita juga sedang dalam fasa untuk permulaan Sabah yang semakin baik dan kerajaan akan terus berusaha dan berunding untuk mendapatkan 40 peratus manfaat sepertimana yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Langkah demi langkah, strategi demi strategi, perlahan-lahan, segala usaha yang diatur, dirancang dan dilaksanakan tidak lain tidak bukan adalah demi merealisasikan impian rakyat dan Sabah dan inilah amanat yang sebenarnya dari rakyat sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020 lalu,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|