Perbadanan Pinjaman Sabah bakal diwujudkan di Sook, beri manfaat peniaga Bumiputera

Perbadanan Pinjaman Sabah bakal diwujudkan di Sook, beri manfaat peniaga Bumiputera

Sook: Ratusan peniaga Bumiputera bakal mendapat manfaat menerusi pembukaan cawangan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) di daerah ini dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Angin berkata, pembukaan SCC itu akan memudahkan akses pinjaman kewangan bagi kawasan itu dan sekitarnya.

“Ini adalah untuk memudahkan akses peminjaman sumber kewangan yang berdaftar terutamanya di kawasan Sook dan dengan usaha saya serta kerjasama SCC, satu cawangan bakal diwujudkan di sini.

“Ini bakal memberi manfaat kepada ratusan penjaja Bumiputera di Sook ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kelapan dan kesembilan bagi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputera Sook di Tamu Sook, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah menyeru peniaga tempatan merebut kemudahan kewangan termasuk melalui pinjaman atau insentif yang disediakan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, insentif atau pinjaman yang disediakan kerajaan boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan peniaga kecil di daerah ini.

“Rebutlah manfaat dan kemudahan kewangan seperti insentif dan pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk mengembangkan perniagaan anda,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru supaya peniaga kecil Bumiputera tidak hanya tertumpu kepada satu produk saja untuk dipasarkan.

“Sebaliknya pelbagaikan perniagaan masing-masing dan dengan itu ia akan dapat mengembangkan perniagaan yang diusahakan.

“Saya berharap anda semua sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mempelbagaikan produk jualan, tidak hanya tertumpu kepada satu-satu produk, kerana dunia perniagaan hari ini adalah sengit dan peniaga dituntut untuk sentiasa kreatif serta inovatif dalam memenuhi keperluan semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|