Cubaan seludup minyak petrol dipatahkan

Cubaan seludup minyak petrol dipatahkan

Semporna: Cubaan seorang lelaki menyeludup minyak petrol bernilai RM17,838 ke negara jiran berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di sekitar kawasan Laut Tampi-Tampi, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 6.30 petang itu, semua minyak petrol berkenaan dibawa menaiki sebuah bot laju oleh seorang lelaki.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan cetek sebelum terjun dari perahu dan terus menghilangkan diri di kawasan paya bakau.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui beberapa jerikin berisi 30 liter minyak petrol yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran Filipina.

“Semua minyak petrol berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, operasi pemantauan kegiatan penyeludupan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|