16 Bazar Ramadan dibuka sekitar Kota Kinabalu

16 Bazar Ramadan dibuka sekitar Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membuka sebanyak 16 lokasi Bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini bermula petang ini hingga 2 Mei depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Norlizah Awang Alip, berkata kebanyakan lokasi membabitkan tapak pasar malam, selain tapak letak kereta dan laluan yang dijadikan lokasi sementara Bazar Ramadan.

Katanya, antara lokasi Bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini ialah Lintasan Deasoka (Jalan Gaya), Indah Permai, Sembulan, Tanjung Aru, Pasar Malam Inanam, Pasar Malam Inanam Point, Pasar Malam Manggatal dan Pasar Malam Kingfisher.

“Lokasi lain ialah di kawasan ‘boardwalk’ belakang Marriott Hotel Kota Kinabalu, kawasan University Apartment, Wisma Merdeka, Asia City, Taman Putera Jaya, Metro Town, Wawasan Plaza dan Bataras Kolombong,” katanya.

Beliau berkata, Bazar Ramadan di bandar raya ini dibuka mulai jam 2 petang hingga jam 7 malam, manakala lokasi yang membabitkan tapak letak kereta dan laluan tertentu, penutupan kawasan dilakukan bermula jam 1 tengah hari hingga jam 7.30 malam.

Katanya, antara lokasi tapak letak kereta yang terbabit dengan pengoperasian Bazar Ramadan ialah di Lintasan Deasoka (Jalan Gaya), hadapan pasar raya Bataras Indah Permai, Tanjung Aru, Sembulan, Pasar Malam Manggatal dan Pasar Malam Kingfisher.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif lain bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan yang terbabit dengan penutupan jalan sementara ini.

“Peniaga, penganjur dan pengunjung Bazar Ramadan adalah diingatkan untuk mematuhi segala peraturan, syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau mengingatkan, sebarang pelanggaran peraturan dan SOP boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|