Dua beradik hilang ketika memancing, ditemui selamat

Dua beradik hilang ketika memancing, ditemui selamat

Labuan: Dua beradik yang hilang selepas keluar memancing di perairan Semarang, di sini, sejak semalam, ditemui selamat, hari ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berkata, kedua-dua mangsa berusia 18 dan 22 tahun terbabit hanya disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi.

Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, pasukan operasi terus mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat di lokasi terakhir kedua-dua mangsa dilihat.

“Berdasarkan maklumat, kedua-dua mangsa Muhammad Nuhidayat Jafari dan abangnya Muhammad Nabil Jafari, 22 tahun turun ke laut menaiki sebuah bot jenis gentian kaca untuk memancing di perairan Semarang.

Bot gentian kaca yang digunakan kedua-dua mangsa terpaksa ditunda oleh sebuah bot menangkap ikan.

“Bagaimanapun, enjin bot mereka mengalami kerosakan dan terpaksa bersauh untuk dibaikpulih namun gagal dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa seterusnya terpaksa meminta bantuan daripada sebuah bot nelayan yang sedang menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Katanya, pada jam 8.40 pagi tadi, kedua-dua mangsa kemudiannya berjaya menghubungi ibu mereka bagi memaklumkan keadaan mereka yang selamat dan dibantu sebuah bot nelayan tempatan.

“Bot Peronda Zon Maritim Labuan (Bot KILAT 23) yang sedang dalam operasi pencarian terus diaturgerak ke lokasi untuk mengambil mangsa.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, jurucakap Maritim Malaysia turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa memberitahu waris terdekat lokasi yang dituju.

Selain itu katanya, mereka juga disarankan supaya memeriksa keadaan bot sebelum berlayar dan memeriksa ramalan cuaca bagi mengelak daripada sebarang keadaan cuaca buruk.

“Sebarang kecemasan di laut boleh terus menghubungi hotline Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ditalian 03-89434001 ataupun melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|