Covid-19 Sabah: Jangkitan harian bawah 200 kes

Covid-19 Sabah: Jangkitan harian bawah 200 kes

Kota Kinabalu: Jangkitan Covid-19 di Sabah kembali di bawah 200 dengan hanya 167 kes direkodkan hari ini, berbanding 234 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kadar jangkitan sporadik atau kes bergejala juga turun ke 43.71 peratus hari ini berbanding lebih 50 peratus sebelum ini.

Beliau berkata, peratusan yang lebih rendah itu menunjukkan risiko jangkitan Covid-19 di Sabah juga berkurangan dan dijangka menyebabkan kes baharu terus berkurangan.

“Pematuhan yang tinggi ke atas semua prosedur operasi standard (SOP) adalah faktor utama yang menjadikan jumlah jangkitan harian di Sabah kini lebih rendah.

“Justeru, adalah amat diharapkan disiplin tinggi yang ditunjukkan rakyat Sabah akan terus diamalkan walaupun negara kita kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

“Kunci kejayaan kita menjadikan Sabah antara negeri yang mencatatkan kes harian yang terendah sejak kebelakangan ini ialah tahap pematuhan SOP yang tinggi dalam kalangan rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi berkata jangkitan Covid-19 di kebanyakan daerah juga menunjukkan tanda penstabilan dengan perubahan kes harian pada kadar yang lebih rendah dan terkawal.

Katanya, jangkitan tertinggi hari ini hanya 26 kes iaitu di daerah Kota Kinabalu, diikuti daerah Papar dengan 21 kes, Penampang (17 kes), Tuaran (14 kes), Tambunan dan Sandakan masing-masing 12 kes serta Putatan (10 kes).

Sebanyak 16 daerah lagi, katanya hanya mencatat kes satu angka, manakala empat daerah iaitu Kuala Penyu, Telupid, Kunak dan Kalabakan tidak mencatat sebarang kes baharu.

“Pemerhatian mendapati daerah yang jauh dari pusat bandar besar dengan jumlah penduduk yang kecil secara konsisten mencatatkan jumlah kes harian yang lebih rendah setiap hari, malah kadang-kadang tanpa mencatat sebarang kes baharu,” katanya.

Sementara itu, katanya seramai 158 orang daripada 167 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti seorang pesakit dalam Kategori 3, manakala masing-masing empat pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 3 April 2022
Sabah 167 (234)

Kota Kinabalu 26 (58)
Papar 21 (18)
Penampang 17 (18)
Tuaran 14 (16)
Tambunan 12 (1)
Sandakan 12 (22)
Putatan 10 (10)
Kota Marudu 8 (6)
Ranau 7 (5)
Sipitang 7 (6)
Nabawan 5 (0)
Tawau 5 (11)
Tenom 4 (2)
Beluran 3 (0)
Keningau 3 (9)
Beaufort 3 (18)
Lahad Datu 2 (3)
Kudat 2 (6)
Kota Belud 2 (4)
Semporna 1 (1)
Kinabatangan 1 (1)
Pitas 1 (6)
Tongod 1 (0)
Kuala Penyu 0 (7)
Telupid 0 (1)
Kunak 0 (4)
Kalabakan 0 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 2 April 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|