PBS ingatkan pemimpinnya supaya tidak ‘lompat’

PBS ingatkan pemimpinnya supaya tidak ‘lompat’

Ranau: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengingatkan pemimpin parti itu supaya sentiasa memiliki sifat sabar, setia dan bersatu hati, selain berpendirian teguh serta tidak melompat parti.

Perkara itu ditekankan Naib Presidennya, Datuk Dr Joachim Gunsalam dalam usaha mengukuhkan kedudukan PBS sebagai parti paling lama bertahan dan terus relevan di Sabah.

“Pemimpin parti perlu sentiasa bersabar, setia dan bersatu hati. Selain itu, seorang pemimpin juga harus memiliki pendirian teguh, yang tidak ‘lompat’ parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS yang ke-36 dan ke-37 bagi tiga bahagian iaitu Kundasang, Paginatan dan Karanaan di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, semalam.

Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata semua ahli parti juga perlu meneruskan perjuangan parti yang sinonim sebagai parti tertua serta berbilang kaum dan agama itu.

Beliau turut menekankan kepada semua kepemimpinan parti untuk membimbing golongan belia dan beliawanis dalam kalangan pengundi muda yang berumur 18 tahun ke atas.

“Golongan ini perlu dibentuk dan dilatih. Ia penting kerana mereka inilah yang akan menjadi pentadbir parti pada masa akan datang,” katanya.

Ketua Bahagian PBS Kundasang itu juga mengingatkan semua ahli parti agar memperkukuh dan memantapkan pentadbiran di peringkat bahagian dan cawangan.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Dr Joachim berkata PBS berharap dapat diberikan peluang untuk kembali bertanding di Parlimen Ranau tetapi pada masa yang sama ia tetap akur dengan sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Katanya, PBS percaya dan menghormati selain akan terus bekerjasama dengan parti sekutu dalam Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|