Boleh teruskan menderma darah walaupun berpuasa

Boleh teruskan menderma darah walaupun berpuasa

Beaufort: Orang ramai digesa untuk terus menderma darah sepanjang Ramadan agar bekalan darah hospital mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit.

Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Beaufort, Wong @ Rodzhan Wong Sammie berkata, masyarakat Islam juga boleh terus menderma walaupun berpuasa.

Antara penderma darah yang tampil menderma darah menjelang Ramadan anjuran PAWE Beaufort.

“Apa yang saya difahamkan oleh Tabung Darah Hospital Beaufort, yang beragama Islam masih boleh menderma namun terdapat kriteria yang perlu dipenuhi sebelum menderma ketika berpuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Derma Darah Ambang Ramadan anjuran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Beaufort di Rumah Rehat Kerajaan, Pekan Beaufort, di sini, semalam.

Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Beaufort, Wong @ Rodzhan Wong Sammie.

Selain itu, katanya penderma darah yang berpuasa juga perlu makan secukupnya ketika sahur, cukup rehat dan tidur lebih lima jam, menderma awal sebelum jam 9 pagi dan dalam keadaan sihat tanpa batuk dan selesema.

Rodzhan berkata PAWE Beaufort yang beroperasi sejak 2016 adalah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti.

Katanya, program derma darah itu adalah yang kedua pada tahun ini sebagai galakan kepada masyarakat untuk terus menderma darah.

Tambahnya, beliau dan jawatankuasa PAWE Beaufort memilih 2 April untuk mengadakan program derma darah itu agar darah yang didermakan pada program itu bermanfaat pada minggu pertama puasa.

“Penghargaan dan terima kasih kepada penderma yang hadir, dan juga kepada jabatan-jabatan kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Beaufort dan Hospital Beaufort yang menyokong aktiviti PAWE tahun ini.

“Pastinya akan ada lagi program yang bakal kami anjurkan pada tahun ini mengikut kalender aktiviti yang telah dirancang,” katanya.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Pengarah (Perubatan) yang mengetuai pasukan tabung darah Hospital Beaufort, Dr Wan Mohd Syazwan Wan Mohd Sabri; wakil Penolong Pengarah Bahagian Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Beaufort merangkap Penyelaras PAWE Beaufort, Darul Bahari Nawali dan Setiausaha PAWE Beaufort, Rahman Karno.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|