Muhyiddin akui jumpa Tun M, pemimpin politik bentuk kerjasama hadapi PRU-15

Muhyiddin akui jumpa Tun M, pemimpin politik bentuk kerjasama hadapi PRU-15

Kota Kinabalu: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bertemu dengan pimpinan utama parti politik kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menerusi kenyataan medianya semalam, beliau berkata, inisiatif itu adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan pemimpin parti politik, namun tiada keputusan muktamad dibuat.

Beliau turut mengakui antara pemimpin yang ditemuinya menerusi inisiatif itu ialah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang diatur selepas seorang pemimpin kanan parti PEJUANG datang menemui saya adalah sebahagian daripada inisiatif ini,” katanya.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyatakan ada menemui Muhyiddin mengenai kerjasama menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

Muhyiddin menjelaskan, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau didatangi beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada PEJUANG.

“Mereka menyuarakan pandangan kepada saya bahawa lebih baik parti-parti selain BN merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15.

“Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong BN yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

“Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat,” katanya.

Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru pada PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa.

Jelasnya, pandangan seumpama itu juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|