Penuntut Politeknik lemas di Pantai Shahbandar

Tuaran: Seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Politeknik, di sini, yang hilang ketika aktiviti mandi-manda bersama tiga rakannya ditemui lemas di pantai Shahbandar, Tuaran, lewat malam tadi.

Mangsa, Md Habibullah Jihadi Maksum, 21 yang disedari hilang sejak jam 6.30 petang itu, ditemui kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir dia dilihat bersama rakannya.

Pasukan bomba membawa mangsa untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada pihak polis selepas disahkan sudah meninggal dunia.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.54 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Ahli keluarga yang turut hadir di lokasi kejadian membuat pengecaman mayat mangsa.

“Pasukan operasi yang bergegas ke lokasi kejadian terus menjalankan operasi mencari di kawasan sekitar mangsa dilaporkan bermandi-manda bersama rakannya.

“Mangsa akhirnya berjaya ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan pantai pada jam 12.16 tengah malam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu operasi berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.17 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|