Lahad Datu: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Abdul Hakim Gulam Hassan meragui sama ada dakwaan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai beliau dihubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerjasama menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah benar atau tidak.
Namun begitu, menurut Ketua Bahagian BERSATU Lahad Datu itu, sekiranya perkara itu benar, ia merupakan perkara biasa bagi mencapai kemenangan sesebuah parti.
“Kita tidak pasti sejauh mana kebenarannya, pada saya dalam politik kita akan sentiasa berbincang dari semasa ke semasa dan perkara itu biasa untuk kita mencapai kemenangan,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan Mohd Shafie itu.
Ahli Parlimen Semporna itu antara lain mendakwa Muhyiddin menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongan menjadi Perdana Menteri semula.
Hakim berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri BERSATU Lahad Datu di Dewan Seri Perdana, di sini, semalam.
Sementara itu, Hakim turut menegaskan bahawa tidak menjadi masalah buat seseorang individu mengangkat dan memartabatkan bangsa melalui sesuatu parti politik.
“Saya beranggapan perkara itu tidak menjadi satu masalah, sebagai contoh di Sabah ada parti KDMR dan kita sedia maklum setiap individu sudah pasti mengangkat martabat bangsa dan suku kaum.
“Itu sudah biasa dalam demokrasi, saya rasa hari ini rakyat sudah cakna dalam menilai mana parti yang sepatutnya mereka sokong. Jadi tidak timbul soal perpecahan dan sebagainya sebab hari ini rakyat menilai mana kerajaan yang dia boleh sokong dan dapat kita lihat kepimpinan hari ini iaitu Datuk Seri Hajiji sangat baik,” katanya.
Jelas Hakim, rakyat lebih tahu menilai parti mana yang sepatutnya disokong dan tidak wujud isu perpecahan dan sebagainya.
-Deasoka