Penampang: Seorang pemandu dan tiga penumpang berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam longkang di Jalan Towering, di sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, semua penumpang dan pemandu kereta Proton Saga berkenaan terselamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.58 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang bergegas ke lokasi mendapati, semua mangsa masih berada di dalam kenderaan dan seterusnya dibantu keluar oleh pasukan operasi.
“Semua mangsa terus menerima rawatan awal pasukan EMRS di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan Ambulan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.43 pagi.
-Deasoka