Kota Kinabalu: Satu rakaman video kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dan kereta Toyota Vios di persimpangan lampu isyarat di Batu 5, Jalan Tuaran berhampiran sebuah pasar raya, di sini, tular di media sosial sejak pagi tadi.
Dalam video berdurasi 26 saat itu, mangsa yang menunggang motosikal melambung selepas dilanggar Toyota Vios yang dipandu secara melulu melepasi lampu isyarat merah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, kejadian berlaku jam 8.20 pagi hari ini dan mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kolombong.
Manakala katanya, kereta Toyota Vios berkenaan pula bergerak dari arah Inanam menghala ke pusat bandar Kota Kinabalu.
“Sebaik dirempuh, mangsa mengalami kecederaan namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
-Deasoka