55 PATI ditahan dalam Operasi Sapu

55 PATI ditahan dalam Operasi Sapu

Sandakan: Seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam Operasi Sapu di kawasan rumah pekerja di Batu 19, Sungai Tiram, di sini, kelmarin.

Operasi jam 1.10 pagi itu diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Kanan (TPPK) Muhammad Ajman Ajmin bersama 54 pegawai Imigresen Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, SH Sitti Saleha Habib berkata, dalam operasi itu seramai 88 individu diperiksa dan 55 orang ditahan.

“Pecahan daripada jumlah tangkapan iaitu 19 lelaki dewasa, 10 kanak-kanak lelaki manakala 13 adalah wanita dewasa dan 13 kanak-kanak perempuan. Semua mereka warga Filipina.

“Ketika serbuan dilakukan semua mereka sedang tidur di rumah kongsi pekerja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan juga, seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun disyaki sebagai majikan turut ditahan.

“Semua PATI yang ditahan berusia empat bulan sehingga 52 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala bagi majikan kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil kerja orang asing yang tidak memiliki pas yang sah dan Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki membenarkan imigran haram untuk masuk dan berada di premis berkenaan,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti berkata, operasi-operasi di permis seperti ini akan dipergiat dan diteruskan oleh JIM Sabah untuk membenteras PATI khususnya yang disyaki dalam penggajian warga asing tanpa pas dan permit yang sah.

Katanya, JIM Sabah akan terus komited dalam usaha untuk membenteras dan mencegah kehadiran PATI di negeri ini dan memberi amaran kepada orang awam khususnya majikan agar mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan Imigresen yang berkuasa.

“Saya juga dengan tegasnya mengingatkan pihak-pihak yang terlibat agar tidak memperlekehkan dan melanggar undang-undang Imigresen kerana pihak jabatan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuklah hukuman berat tanpa kompormi kepada mereka.

“Akhir sekali orang ramai juga dinasihati supaya memberi dan melaporkan kepada berkuasa khususnya jabatan ini jika mendapati adanya kehadiran PATI dan seumpama ini,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|