Isu keselamatan sentiasa diutamakan – Hajiji

Isu keselamatan sentiasa diutamakan – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan dalam mempertimbangkan kelulusan perkara yang membabitkan soal keselamatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di Sabah.

Acryl Sani (kanan) memberi taklimat kepada Hajiji sambil diperhatikan Idris (dua kanan).

“Keselamatan adalah sangat penting dan kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya apabila mempertimbangkan perkara yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri,” katanya selepas taklimat situasi semasa keselamatan di Sabah, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Taklimat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hajiji berbincang dengan Acryl Sani sebelum taklimat keselamatan di Menara Kinabalu.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Yusof; Setiausaha Hal Ehwal Dalaman dan Penyelidikan Sabah, Datuk Awang Shaminan Sahari dan Setiausaha Bahagian Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri, Zulkifli Abidin.

Hajiji dan Acryl Sani sebelum taklimat keselamatan di Menara Kinabalu.

Hajiji berkata kerajaan negeri meletakkan isu keselamatan Sabah sebagai agenda paling utama.

“Saya membangkitkan perkara ini sepanjang masa. Terbaharu adalah pada mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) semalam.

“Saya meminta untuk menambah peruntukan bagi mengukuhkan aset keselamatan kita, khususnya di kawasan pantai timur,” katanya.

Hajiji berkata, beliau turut meminta agar pos keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik dinaik taraf.

Beliau melawat tiga pos keselamatan di pulau berkenaan beberapa hari lalu iaitu di Burst-Point, Wallace Bay dan Sungai Melayu.

Pada taklimat berkenaan, Hajiji dimaklumkan dua batalion baharu PGA akan diwujudkan di Nabawan dan Kunak sebagai tambahan kepada lima batalion sedia ada di negeri ini, sekali gus menjadikan Sabah memiliki anggota PGA yang terbesar di seluruh negara.

Turut dicadangkan ialah penubuhan Skuadron 69 Komando di Lahad Datu, pangkalan baharu Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah di Lok Poring, Sepanggar dan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kampung Laya-Laya, Tuaran.

Selain itu, Hajiji turut dimaklumkan mengenai permintaan untuk kawasan tambahan di pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis di Tanjung Aru yang sudahpun diluluskan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|