Tuntutan 40 peratus hasil Sabah tetap diteruskan – Hajiji

Tuntutan 40 peratus hasil Sabah tetap diteruskan – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri tidak akan berputus asa dalam usaha menuntut 40 peratus geran khas untuk Sabah di bawah Perkara112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menekankan pendirian itu pada mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui persidangan video, semalam.

Beliau juga berkata, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersetuju dengan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sabah berdasarkan mekanisme pentadbiran.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri Sabah sependapat dengan kerajaan Sarawak bahawa perkenan Yang di-Pertua Negeri perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum cadangan pelantikan diserahkan kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Hajiji berkata Yang di-Pertua Negeri juga bersetuju agar wakil lain dari Sabah dan Sarawak dilantik dalam suruhanjaya berkenaan.

Dalam mesyuarat berkenaan, Hajiji turut membangkitkan keperluan untuk mempercepatkan pembinaan pos keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia.

“Saya baru saja melakukan lawatan kerja ke tiga pos keselamatan di sempadan (Burst-Point, Wallace Bay dan Sungai Melayu) di Pulau Sebatik dan saya mendapati ada keperluan untuk kemudahan itu dinaik taraf,” katanya.

Hajiji turut berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas pelantikan wakil Sabah sebagai ahli lembaga dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau juga berterima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana membentangkan Kertas Putih bagi memperbaiki tahap penjagaan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Semua perancangan yang digariskan dalam kertas berkenaan, katanya diharap dapat dilaksanakan dengan lancar dan secepat yang mungkin.

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju mengenai adanya merit untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak sejajar dengan semangat pembentukan Malaysia.

Perdana Menteri berkata cadangan itu akan dibawa ke Kabinet persekutuan untuk dibincangkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|