Banjir sekitar Jalan Lama Kinarut akibat hujan lebat sejak tengah hari

Banjir sekitar Jalan Lama Kinarut akibat hujan lebat sejak tengah hari

Papar: Hujan lebat sejak tengah hari tadi menyebabkan beberapa jalan dan penempatan di Kampung Tanaki, di Jalan Lama Kinarut, di sini, dinaiki air, hari ini.

Difahamkan, keadaan itu menyebabkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sehingga ada yang bertindak untuk berpindah ke tempat selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.57 petang.

Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Beberapa jalan dan penempatan penduduk mula dinaiki air dan ada mangsa terlibat memerlukan bantuan ke lokasi selamat.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan berpindah sendiri ke lokasi selamat di kawasan tinggi dan ke rumah keluarga sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan pemindahan mangsa dijalankan.

Katanya, operasi turut ditamatkan pada jam 4.25 petang tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|