Penunggang motosikal maut terperosok bawah lori

Penunggang motosikal maut terperosok bawah lori

Kota Belud: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan hingga dia terperosok ke bawah lori membawa muatan beras di Jalan Kota Belud – Tuaran, Pengkalan Abai, di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan jam 4.45 petang itu, mangsa berusia lingkungan 40 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah pekan Kota Belud menuju ke Kampung Lentigi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian ketika mangsa hendak masuk ke simpang sebelah kanan, sebuah lori yang membawa muatan beras dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Kinabalu terlanggar belakang motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terperosok di bawah lori dan diseret sejauh hampir lima meter.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

Sementara itu, Shahrudin berkata, orang ramai diminta supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|