Dua bot bawa 17 PATI diusir keluar dari perairan negara

Dua bot bawa 17 PATI diusir keluar dari perairan negara

Semporna: Dua bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) sebelum diarahkan berpatah balik ke negara asal, semalam.

Kedua-dua bot yang membawa 17 PATI berkenaan dikesan di perairan laut Bohey Dulang, di sini, pada kira-kira jam 1 petang.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan dinaiki lima lelaki, tujuh wanita dan lima kanak-kanak.

Katanya, semua pati terbabit mengaku berbangsa Bajau Filipina dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah

“Pasukan operasi terus melakukan pengusiran dengan mengiringi kedua-dua bot berkenaan keluar dari perairan negara.

“Mereka juga diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid 19,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad berkata, PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|