Ewon kemuka usul khas DUN tolak tuntutan Filipina, batal NCA

Ewon kemuka usul khas DUN tolak tuntutan Filipina, batal NCA

Penampang: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengemukakan dua usul khas mengenai isu tuntutan Filipina dan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA) untuk dibincangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadualkan pada 16 hingga 24 Mac ini.

Pertama, Ewon mengusulkan supaya persidangan DUN Sabah membuat ketetapan untuk menolak secara kekal sebarang tuntutan daripada Filipina atau pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu ke atas Sabah.

Beliau juga mengusulkan agar persidangan DUN membuat ketetapan untuk tidak membayar apa-apa wang ke atas tuntutan atau keputusan timbang tara (arbitrasi) berkaitan tuntutan yang dibuat pihak mendakwa waris kesultanan Sulu sebelum ini.

“Persidangan DUN perlu membuat ketetapan bagi mempertahankan kedaulatan dan kebebasan Sabah. Isu ini adalah isu utama rakyat Sabah dan perlu dibincang, dibahas serta dimuktamad di DUN, seterusnya menghapuskan secara kekal apa-apa persoalan berkaitan tuntutan lapuk yang mengelirukan rakyat Sabah selama ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini rakyat Sabah digemparkan dengan satu keputusan dibuat penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa yang mengarahkan Kerajaan Malaysia membayar RM62.59 bilion kepada pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu pada perbicaraan di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis.

Sementara itu, usul kedua, Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengusulkan agar DUN Sabah membatalkan perjanjian NCA yang ditandatangani oleh kerajaan negeri dengan syarikat Hoch Standard dari Singapura.

Beliau berkata, pembatalan itu perlu kerana kandungan perjanjian berkenaan berat sebelah yang tidak akan menguntungkan kerajaan dan rakyat Sabah berdasarkan kepada protokol antarabangsa berkaitan perdagangan kredit karbon.

“DUN perlu membuat ketetapan ini bagi mempertahankan masa depan rakyat Sabah daripada sebarang kemungkinan liabiliti kewangan, aset semulajadi, tadbir urus songsang dan meniadakan konflik di antara kerajaan negeri Sabah dengan masyarakat orang asal berhubung tuntutan tanah adat,” katanya.

Ewon berkata, isu perjanjian NCA kini menjadi tumpuan masyarakat saintifik dunia yang terbabit dalam program konservasi iklim dan alam sekitar disebabkan pelbagai kecelaruan yang timbul.

Katanya, perkara itu perlu dimuktamadkan pada persidangan DUN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|