Lima pemburu ditahan, buru haiwan melebihi kuota

Lima pemburu ditahan, buru haiwan melebihi kuota

Paitan: Tindakan lima lelaki memburu melebihi kuota membawa padah apabila ditahan bersama dua bangkai haiwan buruan dalam satu sekatan jalan di Paitan, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, lima pemburu berusia antara 50 hingga 55 tahun itu turut ditahan bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti memburu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, tangkapan dibuat hasil daripada Operasi Bersepadu bersama pasukan PROTECT Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) bagi mengesan aktiviti pemburuan yang menyalahi Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Katanya, dalam operasi itu, pasukan penguatkuasaan berjaya menahan sebuah kenderaan dan hasil pemeriksaan menemui dua bangkai rusa yang disimpan di belakang kenderaan bersama peralatan memburu yang lain.

“Semua individu terpaksa ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 25 Sub-seksyen 2 (b), iaitu memburu melebihi kuota yang dinyatakan dalam lesen memburu.

“Jika didapati bersalah, mereka yang dituduh boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Agustine turut menasihatkan orang awam supaya tidak menjalankan aktiviti memburu tanpa lesen yang sah dikeluarkan JHL Sabah.

“Pemburu berlesen juga dinasihati untuk patuh terhadap syarat-syarat yang dinyatakan dalam lesen seperti tempoh sah memburu, kawasan pemburuan dan bilangan haiwan yang hendak diburu,” katanya.

Katanya lagi, kerjasama strategik antara pasukan PROTECT JPS akan diteruskan bagi membanteras pemburuan haram dan eksploitasi hidupan liar terutama di kawasan hutan simpan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|