Doktor kerugian RM63,950 diperdaya Macau Scam

Doktor kerugian RM63,950 diperdaya Macau Scam

Kota Marudu: Wang simpanan sebanyak RM63,950 milik seorang doktor di daerah ini, lesep selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Doktor wanita berusia 31 tahun yang bekerja di hospital kerajaan mendakwa menerima panggilan dari seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jam 1.50 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, suspek mendakwa nama dan MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat serta mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.

Katanya, panggilan kemudian disambung kononnya kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka’ dan suspek kononnya mendakwa mangsa terbabit dengan kes penggubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

“Selepas itu, mangsa dikehendaki untuk memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah penggubahan wang haram.

“Mangsa yang tidak sedar ditipu kemudian memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, pada jam 5.30 petang hari yang sama, mangsa baru sedar terpedaya dengan penipuan sindiket Macau Scam.

“Mangsa kemudian membuat semakan semua akaun bank miliknya dan mendapati wangnya sebanyak RM63,950 dalam akaun banknya hilang.

“Menyedari tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sehubungan itu,
Zairolnizal berkata, masyarakat diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali dan jangan beri sebarang maklumat peribadi atau bank.

“Jangan layan panggilan telefon yang tidak dikenali dan putuskan panggilan jika rasa terancam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghubungi bilik gerakan IPD Kota Marudu sekirannya terdapat panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis untuk pengesahan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|