Penunggang motosikal maut, terlanggar belakang kereta

Penunggang motosikal maut, terlanggar belakang kereta

Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam, mangsa Hasnorld Hamid, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Penunggang motosikal maut selepas terlanggar belakang sebuah kereta di Jalan Coastal, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Perodua Viva dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah Asia City menuju ke Kampung Sembulan Lama.

“Sebaik tiba di lokasi di Jalan Coastal, ketika berada di lorong tengah menurui flyover berdekatan Imago, kereta berkenaan dipercayai dilanggar dari belakang oleh motosikal ditunggang seorang lelaki dengan impak yang kuat.

“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal terseret sejauh enam meter bersama motosikal sebelum tercampak ke tengah jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan HQE I.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HQE untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|