Maritim Malaysia rampas 100 batang kayu Nibong seludup

Maritim Malaysia rampas 100 batang kayu Nibong seludup

Tawau: Sebanyak 100 kayu nibong yang ditemui terapung di muara Sungai Inderasabah di sini, dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kelmarin.

Semua kayu berkenaan ditemui kira-kira jam 8.30 malam ketika rondaan Op Sejahtera dijalankan di kawasan sekitar perairan berkenaan.

Kayu nibong ditinggalkan berhampiran muara sungai bagi mengelak dikesan dan ditahan pihak berkuasa. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, pasukan operasi menemui timbunan kayu nibong berkenaan dalam keadaan terapung tanpa sebarang pengawasan.

Katanya, semua kayu itu disyaki baru diseludup masuk dari negara jiran dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lima longgokan yang diikat dengan 20 batang kayu nibong pelbagai saiz.

“Semua kayu yang dirampas adalah sebanyak 100 batang dan dianggarkan bernilai RM15,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Ia dirampas selepas disyaki melanggar Enakmen Hutan 1968 dan kes akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sabah Cawangan Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Siva Kumar berkata, pemeriksaan visual serta soal siasat turut dijalankan di sekitar kawasan penemuan dan komuniti maritim berhampiran bagi mengesan pemilik kayu nibong berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang maklumat mengenai pemilikan longgokan kayu nibong berkenaan.

“Ia dipercayai modus operandi penyeludup dengan meninggalkan kayu nibong berhampiran muara sungai bagi mengelak dari dikesan dan ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Siva Kumar berkata, Maritim Malaysia akan terus komited dalam memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya, kerjasama dengan agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|