Penunggang motosikal maut bertembung pacuan empat roda

Sandakan: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan pacuan empat roda dalam kejadian di kawasan lampu isyarat Batu 2 Jalan Utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 25 tahun maut di lokasi kejadian.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di kawasan lampu isyarat Batu 2 Jalan Utara, Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha 125ZR dengan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

“Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal maut, manakala pemandu pacuan empat roda berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, pacuan empat roda begerak dari arah Batu 12 menuju ke Hospital Dutchess of Kent (HDOK) dan sebaik tiba di lokasi, berlaku pertembungan dengan motosikal mangsa yang bergerak dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Fuad berkata, pihak polis memohon saksi yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

“Siasatan kes masih diteruskan, dibawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes iaitu Inspektor Rodhi Wong di talian 016-8657446,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|