Kedai pembekal barangan tandas musnah terbakar

Penampang: Sebuah kedai pembekal barangan tandas dan kelengkapan mandi di Jalan Penampang Bypass, di sini, musnah selepas terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa berikutan premis berkenaan sudah ditutup sejam sebelum kejadian.

Premis berkeluasan 1,939 mula terbakar kira-kira jam 6 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.37 petang.

Katanya, sepasukan 13 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah kedai pembekal barangan tandas dan kelengkapan mandi di Jalan Penampang Bypass, Penampang.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan sebuah kedai dua tingkat yang menjual dan membekal barang-barang tandas berkeluasan 1,939 meter persegi.

“Pasukan Bomba terus bertindak menjalankan operasi pemadaman api kebakaran menggunakan tiga aliran sepanjang 100 meter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan enam pancutan itu mendapat bekalan air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.

Katanya, api berjaya dikawal pada jam 7.56 malam namun sehingga kini operasi memadamkan sisa-sisa api masih diteruskan.

“Setakat ini, kerja-kerja pemadaman masih dijalankan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|