WARISAN kekal kukuh di Tawau, Kalabakan – Mohd Shafie

Kota Belud: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan WARISAN masih kukuh walaupun seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak keluar daripada parti itu hari ini.

Beliau bagaimanapun mendakwa pengumuman keluar parti oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal itu dipercayai susulan tindakannya yang menandatangani dokumen selain turut menerima imbuhan.

Shafie yang ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Kaamatan WARISAN.

“Saya difahamkan, dia sudah tandatangan tidak tahu apa dokumen itu, tidak tahu berapa dia dapat, tidak boleh elak.

“Kita masih mantap lagi di Tawau, Kalabakan. Berbagai langkah yang mereka lakukan untuk menekan, melemahkan WARISAN. WARISAN Insya-ALLAH masih kuat,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Kaamatan WARISAN di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Rina yang bukan saja mengumumkan keluar daripada parti tetapi turut menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Diminta mengulas lanjut tindakan yang akan diambil, beliau memaklumkan Rina akan turut menerima nasib yang sama dengan lima ADUN yang sudah keluar daripada WARISAN sebelum ini.

“Sebahagian mereka memang kita sudah bawa ke mahkamah kita heret mereka oleh kerana perjanjian yang telah kita nyatakan kepada mereka, pengakuan mereka.

“Itu sememangnya akan menjadi satu tindakan yang kita lakukan,” katanya.

Rina sebelum ini beberapa kali menafikan mahu keluar daripada WARISAN tetapi hari ini membuat kejutan mengikut jejak lima bekas ADUN WARISAN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|