Penunggang maut tersepit bawah kenderaan

Penunggang maut tersepit bawah kenderaan

Kudat: Seorang penunggang motosikal maut akibat tersepit di bawah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Sikuati, di sini, malam tadi.

Mangsa Mazlee Sidan, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pegawai perubatan melakukan pemeriksaan ke atas mangsa sebaik berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari bawah kenderaan pacuan empat roda.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.09 malam.

Susulan itu, katanya seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Sikuati, Kudat.

“Sebaik tiba di lokasi terdapat seorang mangsa (penunggang) terbabit dilaporkan terselit di bawah Toyota Hilux.

“Pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat pada jam 8.34 malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|