50 kanak-kanak sertai Klinik bola sepak anjuran JPKK Kampung Makakagas, Akademi Tuubagu

50 kanak-kanak sertai Klinik bola sepak anjuran JPKK Kampung Makakagas, Akademi Tuubagu

Tenom: Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Makakagas, di sini, bersama dengan Akademi Bola Sepak Tuubagu Tenom telah mengadakan Klinik Akar Umbi Bola Sepak, baru-baru ini.

Program berkenaan julung kali diadakan dengan penyertaan seramai kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Seramai kira-kira 50 kanak-kanak menyertai klinik bola sepak di Kampung Makakagas, Tenom, baru-baru ini.

Pengerusi Akademi Bola Sepak Tuubagu, Gideon Gadit berkata, antara tujuan utama program itu diadakan adalah bagi memberi pendedahan mengenai asas permainan bola sepak kepada golongan kanak-kanak di Kampung Makakagas dan sekitarnya.

“Program ini juga dikendalikan oleh jurulatih yang tidak asing lagi iaitu Jelius Ating dan Burhan Ajui selain dibantu oleh Denis Rasian dan Mohd Rafiz,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Makakagas, Dahalan Sibiu berterima kasih kepada Akademi Bola Sepak Tuubagu kerana sudi memilih kampung berkenaan sebagai venue program bola sepak itu.

Jelius (kanan) dan Burhan (kiri) bersama dua peserta klinik bola sepak di Kampung Makakagas.

“Program ini berjalan dengan jayanya hasil kerjasama semua pihak termasuklah para penaja.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual kerana memberi sumbangan perlatan bola sepak untuk program ini, begitu juga kepada Pengerusi Prihatin Tenom, Junik Bajut yang menaja baju-T peserta, ahli jawatankuasa penganjur serta mesin rumput,” katanya.

Sementara itu, Jelius yang juga bekas pemain dan pengendali skuad negeri berharap program itu akan berterusan di Kampung Makakagas.

“Program ini amat diperlukan terutama kepada kanak-kanak yang perlu memahami asas kemahiran bola sepak.

“Saya juga bersyukur kerana pemimpin masyarakat di daerah ini sentiasa menyokong program seperti ini dan diharapkan kampung ini (Makakagas) akan terus menjalankan latihan setiap meninggu demi pembangunan bola sepak di daerah ini.

“Saya turut berharap kampung lain juga akan menjalankan program seperti ini terutama yang mempunyai padang sendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|