Penjawat awam mengaku tidak bersalah salah guna kedudukan, terima suapan

Penjawat awam mengaku tidak bersalah salah guna kedudukan, terima suapan

Kota Kinabalu: Dua penjawat awam, masing-masing penolong pegawai sebuah jabatan dan pegawai sebuah agensi kerajaan Persekutuan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahguna kedudukan dan menerima suapan ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kes pertama, seorang Penolong Pegawai Penerangan di Kota Marudu mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan menyalahguna kedudukan dengan melantik syarikat milik saudaranya bagi pembekalan makanan bernilai lebih RM43,000.

Tertuduh, Sharif Ahmad Shah Sh Mundui, 49, membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Penolong Pegawai Penerangan di Pejabat Penerangan Kota Marudu bagi mendapatkan suapan.

Bagi tujuan itu, tertuduh didakwa mengarahkan kerani di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara mempelawa syarikat milik abangnya sebagai pembekal perkhidmatan menyediakan jamuan makan dan minum untuk program di sekolah-sekolah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dalam kejadian berasingan di antara Julai 2019 hingga Oktober 2019, membabitkan jumlah keseluruhan RM43,200.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Izzati Sapifee kemudian memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan memandangkan ia adalah kes pertamanya, selain menanggung tiga anaknya, dengan dua masih bersekolah dan ibu yang kurang sihat.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan deposit RM8,000 dan seorang penjamin tempatan.

Abu Bakar turut memerintahkan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah, selain melarang tertuduh mendekati saksi.

Tertuduh juga diarah melapor diri di Pejabat SPRM Kota Kinabalu dua bulan sekali.

Dalam kes berasingan di mahkamah yang sama, seorang lagi penjawat awam mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan menerima suapan membabitkan nilai keseluruhan RM22,300.

Tertuduh, Zainal Aliasan, 33, yang bertugas sebagai Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Keningau didakwa memperoleh untuk dirinya suatu barangan berharga, iaitu wang ringgit bagi mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran kepada sebuah syarikat.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat RISDA Keningau antara Mei hingga Julai 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 serta dua orang penjamin tempatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi.

Tarikh sebutan semula untuk penyerahan dokumen bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 27 Oktober depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|