JPKK digesa bergerak aktif dekati rakyat

JPKK digesa bergerak aktif dekati rakyat

Kinabatangan: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu meningkatkan lagi usaha dan sentiasa bergerak aktif bagi mengenal pasti masalah rakyat dan menyalurkannya kepada pihak atasan untuk tindakan segera.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mereka yang dilantik oleh kerajaan itu adalah individu yang diyakini mampu menyampaikan suara rakyat yang memerlukan.

“Saya menyeru kepada mereka agar memainkan peranan yang sewajarnya selaku pengerusi. Mereka dilantik oleh kerajaan untuk memastikan apa juga permasalahan dapat dibawa ke pihak berwajib dan mereka ini juga mata dan telinga kepada kerajaan.

“Saya berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik kerana kita tidak mahu nanti ada pihak lain yang mengambil peranan mereka kerana mereka sepatutnya lebih tahu tentang kampung mereka sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengerusi-pengerusi JPKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag di Bukit Garam, dekat sini, baru baru ini.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kinabatangan, Amri Andimas.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berharap agar mereka yang dilantik sentiasa turun padang untuk melihat sendiri keadaan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Usaha ini perlu menjadi inisiatif mereka atas dasar dan kapasiti sebagai pengerusi di mana mereka seharusnya mengambil tahu, jangan hanya menunggu orang datang ke rumah (tapi) perlu turun padang.

“Kalau boleh kena tahu populasi di kampung mereka seperti berapa orang anak muda, berapa orang tua, berapa penduduk berumur 80 tahun ke atas, berapa ibu tunggal dan pesakit terlantar yang harus dibela dan dijaga dengan baik.

“Ini kerana kita sebagai kerajaan tidak semestinya tahu semua benda, sebab itu kita lantik pengerusi ini sebagai ‘react on behalf’ daripada pihak kerajaan, jadi penduduk kampung boleh melaporkan kepada mereka,” katanya.

Bung Moktar berkata, permasalahan yang dihadapi oleh rakyat akan dapat diselesaikan dengan mudah apabila badan itu bertindak mengikut kaedah yang betul.

Jelasnya, masyarakat juga perlu mengetahui dan memahami saluran aduan yang betul agar ia menemui jalan penyelesaian terbaik dalam masa yang singkat, bukannya memilih jalan singkat memviralkan isu atau masalah kampung melalui media sosial .

“Kita ada cara dan kaedah kita bekerja, JPKK ada masalah mesti berhubung dengan wakil rakyat masing-masing supaya mereka boleh ‘follow up’ masalah rakyat sehingga di peringkat seterusnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|