Putatan: Seramai 300 murid dan pelajar B40 di kawaaan Parlimen Putatan menerima bantuan persekolahan bagi penggal kedua 2022 sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).
YBR dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Kasih Komuniti Sabah (COTERIE), memperuntukkan RM30,000 bagi tujuan itu.
Penyampaian bantuan kepada murid dan pelajar dari sekolah di sekitar Putatan disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Jefferey Nor Mohamed.
Majlis yang diadakan di Balai Raya Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu itu turut disaksikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru, Mohd Ridhuan Aklee.
Hadir sama Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Jefferey Nor berkata, selain membantu golongan dari keluarga kurang mampu, terutama asnaf dan miskin bandar inisiatif seperti itu dapat meringankan beban kewangan ibu bapa mengharungi pasca pandemik Covid-19.
“Misi YBR adalah membantu pelajar daripada keluarga kurang mampu terutama masyarakat luar bandar, pendalaman dan miskin bandar.
“Diharapkan melalui inisiatif seperti ini, ia dapat meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik dan ketidaktentuan ekonomi yang melanda seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif bantuan pendidikan itu juga diharap dapat mendorong organisasi lain untuk turut sama membantu atau menyalurkan apa saja bantuan.
Jelasnya, ia bukan sahaja membantu masyarakat malah, membuktikan badan-badan korporat turut mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan.
Menerusi inisiatif itu, YBR menyalurkan bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai RM100 bagi membeli peralatan persekolahan.
Inisiaitif itu diambil YBR sebagai tanda prihatin dalam membantu ibu bapa membuat persiapan anak-anak menghadapi sesi persekolahan bagi sesi 2022 / 2023.
Bagi sesi persekolahan kali ini, seramai 26,502 murid menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3 juta.
-Deasoka