Enam nelayan Vietnam ceroboh perairan Kudat ditahan

Enam nelayan Vietnam ceroboh perairan Kudat ditahan

Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kudat menahan enam nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara disyaki cuba melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 101 batu nautika Barat Laut Simpang Mengayau, di sini, kelmarin.

Bot dinaiki mereka sebelum itu dikesan oleh Kapal Maritim (KM) Ikhlas ketika membuat rutin rondaan Op Pluto Timur, jam 2.27 petang.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam orang termasuk tekong berusia 23 hingga 53 tahun berada dalam bot berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua individu terbabit tidak mempunyai pengenalan diri.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat alat menangkap ikan jenis rawai di dalam bot berkenaan dan disyaki cuba melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Bot dan semua nelayan Vietnam ditahan dan diiring ke Jeti Awam Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 kerana tiada pengenalan diri ketika diperiksa.

“Kes turut disiasat mengikut Akta Perikanan 1985/63, Seksyen 15(1)(a) iaitu menangkap ikan di Perairan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16(3) tidak memaklumkan kepada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia apabila memasuki Perairan Perikanan Malaysia.

“Sebarang maklumat kehadiran bot nelayan asing boleh terus disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|