Isu kereta sewa: Pengusaha pertikai ditempatkan di tingkat 4, 5 KK Sentral

Isu kereta sewa: Pengusaha pertikai ditempatkan di tingkat 4, 5 KK Sentral

Kota Kinabalu: Pengusaha kereta sewa (atap kuning) tidak menolak saranan untuk memindahkan operasi menurun dan mengambil penumpang di bangunan KK Sentral, di sini.

Sebaliknya, pengusaha pengangkutan awam itu mempersoalkan sistem pengoperasian di bangunan berkenaan yang kelihatan tidak adil dan menyukarkan mereka mendapatkan penumpang.

Noorliza meninjau operasi pengangkutan awam di KK Sentral.

Ia berikutan kedudukan mereka yang ditempatkan di tingkat empat dan lima bangunan berkenaan agak terpencil berbanding perkhidmatan bas ekspres dan bas mini yang beroperasi di tingkat bawah.

Pengusaha kereta sewa, Ali Yadam, 52, berkata, mereka berharap pihak berwajib dapat mendengar rintihan mereka dan seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua.

Ali Yadam

Katanya, semua jenis perkhidmatan pengangkutan awam dikumpulkan di bangunan itu dan walaupun persaingan adalah perkara biasa namun dalam keadaan sekarang, mereka diletakkan di lokasi yang ‘terpencil’.

“Antara masalah lain yang perlu diambil perhatian adalah seperti kekurangan kemudahan kaunter di tingkat bawah bagi memberi pilihan kepada pengguna.

“Kaunter ini penting kerana kami tidak boleh turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan penumpang begitu saja,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ali berkata, tanpa perancangan yang baik, bangunan itu sudah pasti belum bersedia untuk beroperasi sepenuhnya.

Katanya, masalah pengusaha kereta sewa perlu diambil perhatian kerana mereka juga perlu menyara keluarga, selain komitmen bayaran bulanan pinjaman kereta.

“Kami juga mohon Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk turun padang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi sekali gus membantu menyelesaikan.

“Apa yang pasti bangunan ini belum bersedia untuk beroperasi sepenuhnya tanpa penyelesaian kepada masalah yang timbul,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, lawatannya hari ini adalah susulan daripada mesyuarat yang diadakan dengan pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam terbabit.

Katanya, ia bagi meninjau sendiri segala permasalahan yang timbul di KK Sentral, bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Hari ini, saya meninjau keadaan di KK Sentral susulan daripada mesyuarat dengan pengusaha kereta sewa atap kuning, semalam.

“Ia bagi mengenal pasti masalah yang timbul selain mendengar sendiri pendapat pengusaha dan seterusnya membantu perbaiki masalah yang dikenalpasti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|