Beri penjelasan indeks kemiskinan 8 daerah termiskin – Masiung

Beri penjelasan indeks kemiskinan 8 daerah termiskin – Masiung

Kota Kinabalu: Jabatan Perangkaan Malaysia diminta memberi penjelasan berhubung indeks kemiskinan yang diklasifikasikan kepada lapan daerah di Sabah yang disenaraikan sebagai daerah termiskin di Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah turut mempersoalkan sama ada daerah yang dikatakan termiskin itu dinilai dari segi statistik data e-Kasih penduduk atau berpandukan indeks pembangunan di daerah terbabit.

“Saya keliru dengan kajian yang dijalankan Jabatan Perangkaan. Sebagai wakil rakyat saya menyedari purata kemiskinan isi rumah di daerah Tongod agak terpencil.

“Kadar kemiskinan di lapan daerah di peringkat termiskin di wilayah Sabah harus diukur menggunakan kaedah yang betul bagi memastikan kajian tepat dan terperinci, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil mengambil contoh, indeks kemiskinan di Tongod jauh lebih kecil iaitu 2,596 berbanding lebih 5,000 data eKasih di Semporna, tetapi daerah pantai timur itu tidak tersenarai sebagai daerah termiskin.

Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu mengakui jika penilaian JPM berdasarkan kepada indeks pembangunan awam tentunya kemajuan di Tongod masih dalam program pelaksanaan.

Daerah Tongod terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut dan Parlimen Kinabatangan yang merupakan daerah paling luas di Sabah, di mana saiznya lebih besar berbanding negeri Kedah.

Jelasnya, daerah Tongod dengan keluasan 10,051 kilometer persagi, sudah tentu mengambil masa bagi kerajaan mewujudkan lebih banyak pembangunan asas.

Selain Tongod tujuh lagi daerah diketegorikan termiskin di Sabah ialah Pitas, Telupid, Beluran, Kota Merudu, Kota Belud dan Nabawan.

Mengulas lanjut perkara itu, populasi di daerah Tongod katanya, lebih 43,000 penduduk di mana data e-Kasih cuma 2,596 yang diklasifikasikan miskin dan miskin tegar.

Namun kini jumlah e-Kasih itu telah berkurangan di mana 674 isi rumah sudahpun terkeluar dari garis kemiskinan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus Tongod turun menduduki tangga ke-15 di seluruh Sabah.

Menurut beliau, Pejabat Daerah Tongod kini dalam rangka melakukan verifikasi kepada penduduk dan dijangka lebih 400 lagi pemegang e-Kasih akan terkeluar dari garis kemiskinan pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, sejumlah besar isi rumah di Tongod sudah memiliki hak milik tanah sendiri melalui agihan lot-lot kerajaan secara bersasar.

Menurutnya, penduduk telah mengusahakan tapak tanah yang diagihkan melalui bantuan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sesuai dengan misi pembangunan Tongod sebagai jelapang pertanian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|