Peningkatan pemberian khas petanda yang positif kepada Sabah – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menyifatkan kenaikan 4.7 kali ganda pemberian khas kerajaan persekutuan kepada negeri ini sebagai perkembangan yang positif dalam usaha mengembalikan hak Sabah.

Sambil mengalu-alukan kenaikan pemberian khas kepada RM125.6 juta itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pencapaian itu juga menunjukkan kerajaan Pusat mendengar permintaan rakyat negeri ini.

Hajiji bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof mengikuti persidangan video mesyuarat MA63 yang dipengerusikan Ismail Sabri.

“Ia satu perkembangan yang baik bagi Sabah. Bagaimanapun, rundingan masih lagi diteruskan untuk mendapatkan 40 peratus hasil negeri seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini menunjukkan kerajaan Pusat sedia mendengar permintaan kita. Ia satu petanda yang positif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu sebagai susulan kenyataan bersama beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tengah hari tadi mengenai kata sepakat yang dicapai dalam perbincangan di antara kerajaan Pusat dan negeri berhubung kajian semula pemberian khas Sabah.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kenaikan pemberian khas daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta pada tahun ini memberi banyak manfaat kepada Sabah.

“Ia sudah pasti dapat membantu kita untuk melaksanakan agenda pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Pagi tadi, Hajiji memghadiri mesyuarat berkaitan MA63, khususnya mengenai pemberian khas yang dipengerusikan Ismail Sabri menerusi persidangan video.

Mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|