Kenaikan pemberian khas berita baik untuk Sabah

Kenaikan pemberian khas berita baik untuk Sabah

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan kenaikan 4.7 kali ganda pemberian khas kerajaan Pusat kepada Sabah sebagai berita baik untuk rakyat negeri ini.

Beliau berkata ia kerana pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan itu tidak pernah disemak sejak 53 tahun lalu.

“Sudah tentu kita menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Pusat yang mana melalui kenaikan ini lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai kenaikan pemberian khas sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun ini.

Bagaimanapun, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berharap sistem penyampaian pemberian khas itu dibuat secara sistematik dan berkesan bagi memastikan dana yang disediakan dapat dimanafaatkan sepenuhnya untuk pembangunan di negeri ini.

“Kenaikan pemberian khas ini tidak akan bermakna sekiranya sistem penyampaian kita masih ditakuk lama, sebarang keputusan atau tindakan memakan masa yang lama menyebabkan program program pembangunan yang dirancang terbantut,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengulangi saranannya agar Sabah diberikan kuasa autonomi untuk mengurus dana berkenaan untuk tujuan pembangunan di negeri ini.

“Serahkan terus dana khas itu kepada kerajaan negeri, biar kami mengurusnya untuk tujuan pembangunan. Ini kerana penduduk tempatan lebih tahu akan keperluannya,” katanya.

Katanya, jika sistem lama masih digunakan iaitu kerajaan Pusat menguruskanya dan diberikan beperingkat-peringkat, hasrat untuk memacu pembangunan Sabah tidak akan tercapai sekali gus tidak dapat mengeluarkan Sabah sebagai antara negeri yang termiskin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|