Pemberian khas Sabah dinaikkan 4.7 kali ganda, rundingan tuntutan 40 peratus hasil negeri diteruskan

Pemberian khas Sabah dinaikkan 4.7 kali ganda, rundingan tuntutan 40 peratus hasil negeri diteruskan

Kota Kinabalu: Sabah menerima kenaikan pemberian khas sebanyak 4.7 kali ganda kepada RM125.6 juta pada tahun ini berbanding RM26.7 juta sebelum ini.

Kenaikan itu adalah antara persetujuan yang dicapai di antara kerajaan Pusat dan negeri mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, hari ini.

Berdasarkan kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini, jumlah pemberian itu akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2025 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

“Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pada hari ini.

“Ini susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri Sabah dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Februari 2022.

“Persetujuan ini juga adalah satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat pada tahun 1969,” kata kenyataan bersama itu.

Selain peningkatan pemberian khas, Ismail Sabri dan Hajiji dalam kenyataan itu turut menjelaskan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah juga akan terus berunding berhubung tuntutan 40 peratus daripada hasil negeri Sabah.

Kata kenyataan itu, kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga akan dijalankan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan negeri Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan persekutuan.

“Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula tahun 2022,” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu, persetujuan berkenaan dibuat tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia dilakukan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan persekutuan dan keperluan kerajaan negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri.

“Kerajaan Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kenyataan bersama itu turut menjelaskan bahawa kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah akan membekalkan data serta maklumat mengenai kedudukan kewangan kerajaan persekutuan dan keperluan kerajaan negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas itu.

“Persetujuan yang berjaya dimeterai di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen kerajaan persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada kerajaan negeri Sabah serta keprihatinan kerajaan negeri Sabah terhadap peranan dan kemampuan kerajaan persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah.

“Penghargaan kami kepada delegasi kerajaan persekutuan yang diketuai oleh Menteri Kewangan Malaysia dan delegasi kerajaan negeri Sabah yang diterajui oleh Menteri Kewangan Il Sabah dalam pencapaian bersejarah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|