Marsha, Velvet kembali berduet dalam Aramaitii

Kota Kinabalu: Sempena kedatangan Pesta Kaamatan, dua penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu, Marsha Milan dan Velvet Aduk kembali menyemarakkan industri muzik tempatan menerusi single baharu mereka berjudul Aramaitiii.

Pernah tampil dengan lagu duet Sumandak Sabah, Oi Gaman dan Insan Tadau, buah tangan terkini sahabat baik itu ibarat menjadi kemestian buat dua penyanyi wanita berkenaan khususnya apabila tiba musim perayaan Pesta Kaamatan yang sudah sinonim dengan masyarakat tempatan Sabah.

Marsha (kanan) dan Velvet (kiri) ketika majlis pelancaran single dan muzik video lagu terbaharu mereka berjudul Aramaitiii di Kota Kinabalu, malam tadi.

Ditemui ketika majlis pelancaran, Velvet Aduk, 37, berkata, banyak elemen tempatan yang dimasukkan dalam pembikinan muzik lagu Aramaitiii.

“Ia termasuklah instrumen muzik, tarian, pemilihan baju, lokasi menarik untuk penggambaran muzik video selain penggunaan pengaruh bahasa dialek Sabah yang sering digunakan dalam pertuturan seharian.

“Selain itu, perkataan Aramaitiii itu sendiri juga dekat di hati rakyat Sabah malahan sudah dikenali di seluruh Malaysia.

“Kami memang berkeras memilih terma Aramaitiii yang cukup dekat di hati rakyat Sabah tanpa berfikir dua kali. Biarlah lirik ‘aramatiii’ itu diulang-ulang kerana paling penting mesej itu sampai serta menyentuh hati setiap pendengar,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pembikinan muzik video Aramaitiii, Marsha Milan, 37, menyatakan banyak penambahbaikan pelbagai aspek dilaksanakan berbanding muzik video lagu-lagu terdahulu.

Selaku pengarah muzik video, Marsha memaklumkan pihaknya menggunakan tenaga kerja seramai 26 kru membabitkan produksi, penata gaya dan penari.

“Jika sebelum ini kami hanya lakukan penggambaran di sekitar Kota Kinabalu disebabkan kekangan kewangan namun kali ini kami luaskan kreativiti dengan memilih lokasi menarik lain di daerah Tambunan.

“Daripada segi penggambaran, kami dalam satu pasukan memerah otak untuk menjadikan kualiti hasilnya lebih mantap.

“Walaupun mungkin terpaksa mengeluarkan wang yang banyak tetapi selepas melihat hasil akhirnya, segala usaha dan penat lelah itu dilihat berbaloi dengan segala kerja keras daripada seluruh pasukan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|