Pengusaha spa bangkit selepas pandemik, tawar khidmat ‘mobile spa’

Pengusaha spa bangkit selepas pandemik, tawar khidmat ‘mobile spa’

Tuaran: Terjejas teruk akibat pandemik sehingga terpaksa menghentikan sementara perkhidmatan urutan yang baru diusahakan bukan penghalang seorang usahawan bangkit semula dengan menawarkan kelainan kepada pelanggan di daerah ini.

Menurut pengusaha, Zaizamreezam Sikong, 37, atau lebih dikenali Rozairee D Zamzam, dia terpaksa menukar strategi mengikut kehendak norma baharu dengan menyediakan ‘mobile spa’ iaitu urutan dari rumah atau di pejabat kepada pelanggan yang ingin privasi menerusi Aromatic Salon & Wellnes Mobile Spa Borneo yang diusahakannya.

Zaizamreezam Sikong

Katanya, perkhidmatannya itu untuk semua lapisan masyarakat yang mana beliau akan menyediakan urutan berbentuk tradisional, moden dan batin lelaki selain membantu bagi ibu yang sedang berpantang.

“Saya sudah berkecimpung memberi perkhidmatan urutan sejak 2019 namun disebabkan pandemik Covid-19 agak terganggu sedikit.

Zaizamreezam menyediakan perkhidmatan mobile spa iaitu dari rumah ke rumah atau pejabat sekitar Tuaran.

“Namun kini saya bangkit dengan menyediakan perkhidmatan lebih privasi kerana memahami keadaan pandemik di mana orang ramai bimbang untuk keluar dan saya berikan perkhidmatan dari rumah ke rumah atau di pejabat.

“Menggunakan tagline ‘Atur jangan kasi lama’, saya menyediakan harga serendah RM30 untuk setiap sesi mengikut pakej kepada pelanggan dan ini sudah tentu akan memberi kelegaan kepada mereka yang mendapatkan perkhidmatan ini,” katanya di sini, hari ini.

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Zaizamreezam berkata, banyak cabaran dilaluinya sepanjang bergelar usahawan dalam usia muda iaitu sejak 2015.

“Cemuhan masyarakat itu biasa kerana sebelum ini saya juga mengusahakan produk kecantikan menerusi rangkaian jenama Label Luth Cosmetics dan Luth Skin.

“Jadi memang banyak saya tempuhi untuk memperkenalkan dan meyakinkan produk yang dikeluarkan. Akhirnya saya boleh berjaya dan maju dalam bidang kemahiran, kecantikan dan kesihatan ketika kita berhadapan dengan norma baharu ketika ini,” katanya yang juga anak jati Kampung Bantayan, Suang Pantai, Tamparuli.

Menurut jejaka Dusun Lotud itu juga, dia banyak menyertai kursus yang disediakan kerajaan terutama dalam bidang kecantikan dan kesihatan.

“Saya pernah menyertai kursus asas refleksologi tajaan dan anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah.

“Ini membuktikan bahawa bidang kecantikan dan kesihatan bukan hanya sesuai untuk kaum wanita saja tetapi golongan lelaki juga boleh menceburinya jika ada minat dan kesungguhan,” katanya.

Ikon Usahawan Kosmestik Berjaya Luar Bandar itu mengimpikan untuk membuka pusat latihan swasta dalam bidang kecantikan selain meluaskan empayarnya dalam dunia berniagaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|