Restoran kotor diarah tutup serta merta

Restoran kotor diarah tutup serta merta

Sandakan: Bukan saja premis diarah tutup serta merta selama dua minggu, malah pengusaha restoran makanan di Bandar Avenue, di sini, turut dikompaun atas kesalahan mengabaikan kebersihan, dalam satu operasi, malam tadi.

Tindakan itu diambil Jabatan Kesihatan Sandakan, kerana mendapati bahagian dapur yang becak dan kotor, sisa makanan bertaburan di lantai belakang premis, bahan makanan terdedah serta tong sampah tiada penutup.

Restoran yang diarah tutup serta merta kerana mengabaikan kebersihan.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, restoran berkenaan dikenakan perintah tutup selama 14 hari dan diarah agar segera menjalankan kerja pembersihan.

“Restoran yang kita periksa tadi ada banyak kesalahan dan saya rasa kita perlu tutup kerana pemarkahannya sangat rendah bawah 65 markah.

“Antaranya tahap yang kritikal di bahagian dapur, di bahagian tempat membancuh air… saya dah tegur tadi kepada pemilik dan kita minta kena buat perubahan drastik.

“Jadi untuk malam ini, inilah restoran yang pertama ditutup kerana keadaan yang tidak bersih boleh membawa penyakit hingga menyebabkan bahaya kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui media selepas menjalankan operasi berkenaan.

Sementara itu, Dr Johari berkata, secara keseluruhannya, dalam operasi itu sebanyak 14 buah premis diperiksa dan hasilnya sebuah premis restoran diarah tutup.

Manakala, katanya lapan lagi notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya ada pekerja tidak melakukan pemeriksaan kesihatan dan tiada tanda amaran larangan merokok.

Oleh itu, beliau turut menasihatkan peniaga restoran di daerah itu agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan pihaknya.

“Jadi saya ingin menasihatkan semua pemilik premis makanan supaya patuhilah kepada Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang mana kita sudah beritahu lebih awal berkenaan 30 perkara yang mereka perlu patuh.

“Ini antara yang sangat penting kerana setiap premis makanan mesti pastikan makanan yang disediakan kepada pelanggan itu adalah makanan yang sihat, selamat dan berkualiti untuk mengelakkan berlakunya keracunan makanan yang boleh menyebabkan wabak dan juga boleh menyebabkan suatu malapetakalah kepada pelanggan-pelanggan di restoran berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Johari turut menyarankan pelanggan restoran di daerah itu supaya tidak segan silu melakukan tinjauan sendiri ke bahagian dapur restoran demi kesihatan mereka sendiri.

“Kita juga ingin mendidik kepada pelanggan supaya apabila pergi ke restoran, jangan segan silu untuk melihat keadaan dapur dan juga belakang kedai kerana di depan premis biasa nampak cantik, tapi di belakang banyak yang tidak mematuhi kepada kebersihan dan sebagainya.

“Kita sebagai pelanggan kena tahu di mana yang kita harus pergi mendapatkan makanan supaya makanan yang kita beli itu makanan yang selamat dan berkualiti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|