Sabah dapat manfaat besar pembukaan sempadan

Sabah dapat manfaat besar pembukaan sempadan

Kota Kinabalu: Sabah akan mendapat manfaat besar daripada pembukaan semula sempadan negara yang dilaksanakan mulai 1 April depan.

Sambil mengalu-alukan pengumuman itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ekonomi Sabah terjejas teruk sejak penutupan sempadan antarabangsa kira-kira dua tahun lalu.

Beliau berkata, penutupan sempadan menjejaskan aktiviti pelancongan yang menjadi antara sumber pendapatan utama negeri.

“Sehubungan itu, Sabah kini bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelawat dan memastikan ini (pembukaan sempadan) akan membantu memulihkan ekonomi negeri.

“Namun, kita tetap menekankan keperluan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam mengenai pembukaan semula sempadan negara yang akan dilaksanakan serentak dengan fasa peralihan ke endemik Covid-19 bermula 1 April depan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, bagaimanapun berkata, kerajaan negeri masih menunggu pengumuman terperinci SOP untuk diselaraskan dengan keadaan dan keperluan negeri.

“Dalam beberapa penglibatan saya dengan pemain industri pelancongan, ini (pembukaan semula sempadan) adalah yang sentiasa mereka desak,” katanya.

Baru-baru ini, Hajiji mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk KL Tan yang merayu untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan sah boleh masuk dan keluar negara seperti sebelum pandemik dua tahun lalu.

Katanya, pengembara yang sudah mendapat vaksin penuh juga tidak perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke Malaysia, sebaliknya hanya perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum berlepas dan ketika ketibaan.

Ismail Sabri berkata keputusan untuk membuka semula sempadan dibuat berdasarkan sains dan fakta terkini mengenai Covid-19, selain melihat langkah negara lain yang sudah mula membuka sempadan mereka.

Sempadan negara ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|