Pengunjung dari China wajib tunjuk keputusan negatif Covid-19

Pengunjung dari China wajib tunjuk keputusan negatif Covid-19

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini memutuskan semua pengunjung yang datang dari negara China wajib menunjukkan keputusan negatif Covid-19 berkuatkuasa Ahad ini (1 Januari 2023).

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ujian Covid-19 perlu dibuat sebelum berlepas dari negara itu dalam tempoh 48 jam.

“Kerajaan negeri Sabah memutuskan bahawa semua orang yang masuk ke negeri ini dari Negara China hendaklah mempunyai keputusan negatif COVID-19 dalam ujian sebelum berlepas (Predeparture Test, PDT) dalam tempoh 48 jam sebelum dibenarkan masuk ke negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Keputusan itu berikutan kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19 di China.

Ketika ini, kes Covid-19 di Sabah hanya mencatat kes harian satu atau dua angka.

Bagi hari ini, sebanyak 15 kes baharu iaitu bertambah enam kes direkodkan daripada 1,228 sampel ujian berbanding 1,251 ujian semalam dengan kadar positiviti 1.22 peratus berbanding 0.72 peratus semalam.

Masidi berkata, sembilan daerah merekodkan jangkitan baharu dengan tiga kes di Kota Belud dan Penampang, diikuti dua kes di Kota Kinabalu dan Sipitang serta masing-masing satu kes di Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau, Telupid dan Tuaran.

Sebanyak 18 daerah lain tidak merekodkan sebarang kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Katanyq, daripada 15 kes yang dilaporkan, 13 kes adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 serta masing-masing satu kes dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|