Kota Kinabalu: Surau Al Jannah Taman Sepanggar dengan kerjasama KRT Taman Sepanggar akan mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 30 Mei ini bersamaan 29 Syawal 1443H di pekarangan Surau Al Jannah Taman Sepanggar, di sini.
Pengerusi Surau Al Jannah Taman Sepanggar, Tasse Bukhari berkata sambutan Aidilfitri itu bakal dihadiri oleh penduduk perumahan Taman Sepanggar tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Katanya, sambutan itu akan dipengerusikan oleh Amat Jutrah Haji Musnih bersama beberapa orang ahli jawatankuasa pelaksana termasuk dari KRT Taman Sepanggar.
“Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak dapat diadakan sejak gelombang Covid-19 melanda negara kita yang memaksa kita mematuhi SOP pihak berkuasa.
“Alhamdulillah Hari Raya Aidilfitri pada tahun in telah diberikan kesempatan dengan sedikit ruang sambutan secara sederhana bagi memperkukuhkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam dan bukan Islam dalam kalangan penduduk berbilang bangsa dan agama,” katanya.
Tasse Bukhari turut mengucapkan terima kasih kepada KRT Taman Sepanggar kerana sudi bekerjasama dalam penganjuran sambutan Aidilfitri tahun ini.
Beliau mengalu-alukan kehadiran penghuni Taman Sepanggar bukan sahaja untuk memeriahkan majlis itu tetapi juga mengeratkan hubungan dengan penghuni lain dan AJK Penganjur.
-Deasoka