Guna kapal ikan seludup barangan kawalan

Sandakan: Berselindung di sebalik kapal menangkap ikan untuk membawa barang kawalan iaitu minyak petrol dan tong gas LPG tanpa sebarang permit.

Itu taktik penyeludupan terbaru yang dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas berjaya menahan sebuah kapal ikan di kawasan laut Pasar Inner Bouy, di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan rondaan terus menahan kapal berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang dikendalikan juragan lelaki berusia 62 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan barang kawalan iaitu beberapa jeriken minyak petrol dan tong gas LPG.

“Nilai rampasan termasuk kapal ikan yang digunakan dianggarkan berjumlah RM112,292,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan berkenaan terus dibawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung ke balai polis berhampiran bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|