Dendam majlis kahwin tujuh tahun lalu, punca lelaki parah ditetak

Kota Marudu: Pergaduhan antara dua individu di sebuah majlis perkahwinan tujuh tahun lalu ternyata masih membara apabila disambung dengan serangan menggunakan parang, di Langkon Commercial Centre, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, seorang lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan termasuk retak di kepala selepas ditetak menggunakan parang sepanjang 52 sentimeter.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang sedang menjamu selera, dikatakan terlihat suspek di kawasan restoran.

Katanya, mangsa terus bertindak keluar menemui suspek sebelum bertindak menolak dagu lelaki yang berusia 35 tahun terbabit.

“Suspek kemudiannya bertindak balas dengan mengambil sebilah parang di dalam keretanya dan terus mengejar mangsa.

“Sebaik sampai di hadapan sebuah hotel di pusat perniagaan berkenaan, suspek bertindak menetak bahagian kepala mangsa menggunakan parang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, sepupu mangsa yang turut berada di lokasi kejadian membantu meleraikan pergelutan dan berjaya merampas parang daripada tangan suspek.

Katanya, suspek terus melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Saga Sedan yang dikenalpasti menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan awal, punca kejadian disebabkan mangsa tidak berpuas hati terhadap suspek yang memukulnya pada satu majlis perkahwinan di Kampung Ranau, di sini, sekitar tahun 2015.

“Mangsa dan suspek difahamkan saling mengenali antara satu sama lain dan membesar di kampung yang sama.

“Mangsa mengalami kecederaan luka retak tengkorak bahagian kiri kepala. Bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan lanjut,” Katanya.

Zairolnizal berkata, suspek dikenali sebagai Ramlie Awang, berasal dari Kampung Labuan, Kota Belud dipercayai melarikan diri keluar dari daerah ini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek terbabit supaya menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|